Sabtu, 25 Ogos 2012

HADIS-HADIS SAHIH TENTANG KEHARAMAN MUZIK


Oleh: Drs. Abdul Ghani Azmi b. Hj. Idris Rahimahullah


Para Imam Mazhab Empat telah sepakat mengharamkan semua alat-alat muzik, dengan beberapa pengecualian (rebana dalam majlis-majlis perkahwinan dan dua hari raya), berdasarkan hadis-hadis yang warid daripada Rasulullah s.a.w. mengenainya.
Akan tetapi ada sebahagian ulama yang memfatwakan hukum yang berlawanan seratus peratus darjah dengannya. Yang terkenal di antaranya ialah Ibn Hazm, tokoh besar Mazhab Ad Zhahiri dalam bukunya yang terkenal "Al Muhalla". Pada zaman moden ini lahir pula beberapa orang ulama yang mengeluarkan fatwa yang serupa itu. Di antaranya yang sangat menonjol ialah Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya "Al Halal Wal Haram Fil Islam". Beliau telah berkata: Adapun "Adapun dalam hadis-hadis nabi yang warid mengenainya (muzik) semuanya penuh dengan tajrih (kecacatan) dan tidak ada satu hadis pun yang terselamat dari kritikan ulama dan fuqaha hadis. Al-Qadhi Abu Bakar Ibn Al-Arabi telah berkata: Tidak ada satu hadis pun yang sahih mengenai pengharaman bunyian, manakala Ibn Hazm pula berkata: Semua hadis yang warid mengenainya adalah batil dan mauduk belaka." (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, ms. 282)