Secoret cinta tidak menjanjikan keutuhan uhkuwwah, semanis kata tidak melakar kejujuran insan, seindah senikata tidak berupaya mengukur kerinduan, hanya secebis ihklas pengukur sebuah persahabatan...
Sabtu, 24 Julai 2010
Indahnya bersahabat berukhwah kerana Allah
Indah bait-bait kata nie...
Marilah kita berukhwah dan berkawan kerana Tuhan
Hingga kita jadi jemaah Tuhan sekelian alam
Jika kita berkawan kerana Tuhan, kita tidak akan berlaku perpisahan
Mesti kita berkawan sampai penghujung perjuangan
Kalau kita berkawan kerana Tuhan kalaupun ada perbalahan tidak akan berpanjangan Perbalahan dan krisis mudah diselesaikan
Biasalah manusia hamba Tuhan sedikit-sedikit membuat salah dan kesilapan
Tapi mudah selesai dan mudah dihilangkan
Kalau kita berkawan di dalam perjuangan bukan kerana Tuhan
Bukan kerana takutkan dan cintakan Tuhan perbalahan mudah datang
Hendak menyelesaikan pula selalunya berpanjangan
Tuhan adalah pengikat ukhwah dan perpaduan
Tuhan adalah anak kunci kesatuan dan kekuatan
Wang, harta, pangkat, nama, dan jawatan selalunya mendatangkan perbalahan
Oleh itu janganlah diharapkan selain Tuhan boleh berpadu dan menjadi kekuatan
Selalunya kerana wang, harta, pangkat dan lain-lainnya selalu sahaja membawa perselisihan Perselisihan membawa renggang kasih sayang
Apabila renggang kasih sayang pecahlah perpaduan dan kesatuan
Di waktu itu umat Islam akan lemah, musuh pun mudah menghancurkan
Ingatan ini hendaklah diambil perhatian
Kekuatan umat Islam berkawan, berjemaah adalah takut dan cintakan Tuhan
Janganlah cari kekuatan selain Tuhan
Bahkan selain Tuhan telah dikatakan sebelum ini ia selalu sahaja membawa perpecahan
Oleh itu marilah kita perjuangkan Tuhan
Marilah kita berkawan dan berjemaah, bersama Tuhan kita berkawan
Itulah dia kekuatan umat Islam sepanjang zaman
Janganlah kita was-was dan janganlah kita dikelirukan
Seluruh kehidupan kita Tuhan mestilah dibawa bersama berkawan
Tuhan adalah sahabat setia kita sepanjang zaman
Sahabat yang mengawal kita dan menjaga kita di dalam keadaan apa pun
Tapi umat Islam hari ini seluruh dunia Tuhan telah ditinggalkan
Umat Islam terdedah kepada kejahatan musuhnya
Sedangkan musuhnya ada kekuatan lahir yang kuat
Padahal umat Islam kekuatan material pun tidak ada,
Tuhan pun ditinggalkan
Kedua-dua kekuatan sudah tidak ada,
Bagaimanalah hendak menang....
Rabu, 21 Julai 2010
Musibah terhadap seseorang boleh mendidik
ARTIKEL PETIKAN : http://baei. blogspot. com/
Oleh Ahmad Baei Jaafar
Setiap orang tidak ada jaminan untuk selamat daripada ujian Allah. Ujian itu didatangkan Allah mengikut tahap iman seseorang. Orang awam tentu ujian terhadapnya lebih ringan daripada ujian terhadap ulama. Oleh sebab itu ujian Allah tidak sama antara seseorang dengan seorang yang lain.
Jenis-Jenis Musibah dan Tujuan Allah datangkan kepada seseroang adalah:
Jenis | Bila boleh berlaku | Tujuan | Firman Allah |
Bala’ | Apabila orang yang jahat melakukan kejahatan. | Dihina di dunia sebelum dihina di akhirat.
| Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menghukum (firaun dan) kaumnya dengan (mendatangkan) musim kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pelajaran.” (Surah al-Araf 7: 130) |
Ibtila’ | Apabila orang yang baik melakukan kebaikan. | Sebagai ujian dan meningkatkan darjatnya sebagai orang Mukmin.
| Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut 29: 2-3) |
Kafarah | Apabila orang yang baik melakukan kejahatan. | Supaya mereka kembali kepada Allah iaitu bertaubat.
| Allah berfirman yang bermaksud: “Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya) . Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’ 21: 35) |
Umat Islam yang didatangkan musibah kadang-kadang putus asa dan tidak sanggup hidup menderita. Padahal kalau dia bersabar dan membuat perubahan, mereka dijamin syurga. Namun realiti umat Islam kini tidak begitu, mereka lebih sanggup mati awal sebelum diuji. Sedangkan Allah menegaskan seseorang yang diuji itu adalah untuk meningkatkan iman mereka.
Beruntunglah mereka yang melihat positif kepada ujian atau musibah yang menimpa terhadap dirinya kerana dengan ini dia berpeluang membuat perubahan pada dirinya baik dalaman mahupun luaran.Semanis Redha
"Anakku sayang, qiyamullail itu penawar terbaik untuk menggembur iman, menyubur hati, penyeri jiwa yang lemah bahkan menjadi penggerak sendi dan saraf yang bakal menyegarkan jasadmu. Insya Allah, wuduk yang membasahi tubuh di kala hening akan memberi kesegaran buat jasad dan emosi."
Ibu membelai halus jemari Hannan, aku melihat dari sisi. Terasa kehangatan kasih sayang ibu menyusup di celahan jari Hannan. Dari kejauhan tampak bundar matanya bersinar, alhamdulillah. Hannan perlu dimotivasikan bukan sekadar sudut duniawi tetapi rohnya perlu disuntik dan tiada penawar yang paling mujarab selain penawar dari Nya.
"Insya Allah ibu."
*****
Senyuman dilemparkan biarpun tiada seri di wajah. Hambar. Pucat lesi wajahnya sesuai dengan keadaan diri Hannan yang kritikal. Doktor Muhammad Aqil, neorologist terkemuka di Malaysia sudah mengangkat kedua tangan, bukan menyerah pada takdir namun badan Hannan sudah ampuh, tidak lagi memberi reaksi kepada ubat-ubatan dan vitaman yang diberikan malahan semuanya seakan-akan tidak mendatangkan kesan.
"Puan Humaira, Encik Muaz, saya harap encik dan puan akan menerima berita ini dengan berlapang dada. Keadaan Hannan semakin memburuk, pengalaman saya dalam bidang ini... Hannan punya sekitar 2 hingga 3 bulan untuk bertahan."
Ayah dan ibu terdiam, aku memandang keluar tingkap.
'Ya Allah, kurniakanlah kekuatan buat ibu dan ayah.'
"Saya cadangkan Encik Muaz untuk memberi keizinan pihak kami supaya memberi kerehatan buat Hannan." Doktor Muhammad Aqil memandang tepat di muka ayah.
"Kerehatan yang bagaimana?" Ayah menyoal.
"Kami mencadangkan untuk membiarkan Hannan koma seketika sehingga keadaannya stabil. Tekanan darahnya yang meningkat dan menurun secara mendadak mengkhuatirkan saya, kesakitan yang Hannan alami mungkin tidak tertanggung lagi. Dalam keadaan koma, Hannan akan lebih 'rileks' tanpa tekanan menahan sakit." Doktor tua itu memberi cadangan dan penerangan terperinci tentang keadaan Hannan.
"Saya tak setuju!" Ibu dan ayah serentak menjawab.
'Koma?'
Jauh di hati, hiba melihat Hannan mengerang kesakitan namun di sisi hati yang lain masih mengharap sinar mata Hannan akan terus terbuka, sinar di mata Hannan akan memberikan sinar di hati ibu dan ayah juga aku.
"Hannan, jangan mengalah dik... Terus dan terus yakin dengan Allah." Hanani menggenggam erat tangan kembarnya, dialah permata dan ratu di hati, kami sentiasa bersama dari alam rahim sehingga kini. Berpisah dengan Hannan sama seperti sebahagian diriku dibawa pergi.
Setelah keadaan Hannan pulih sedikit, ayah dan ibu meminta keizinan dari doktor agar Hannan di bawa pulang. Kepulangan Hannan jauh lebih baik buat psikologi dan keadaan fizikalnya berbanding hospital. Semoga Hannan tabah menghadapi ujian dari Allah.
*****
Dalam gelap zulumat malam, tergerak kecil jasad lemah itu... Menarik kain yang menyelimuti jasadnya, kakinya di atur perlahan setapak demi setapak langkah. Dalam keadaan lemah dan kesakitan yang menjalar pada setiap saraf, harus dikuatkan hati untuk bangkit. Kaki yang tidak mampu menapak, akhirnya Hannan merangkak perlahan menuju ke tandas. Pintu tandas dikuak perlahan, paip dibuka kecil dan airnya menyoroti bahagian kecil tubuh Hannan.
'Subhanallah, sejuknya.'
Selesai berwuduk, Hannan mengemaskan langkahnya. Biarpun dalam keadaan merangkak, Hannan bersimpuh rapi di hujung sudut kamarnya. Dengan sinaran rembuhan dari celahan jendela menyinari ruang kecil kamarnya. Cicipan sang cengkerik memberi irama yang turut sama menghidupkan malam bersama Hannan.
Gerakan lemah dan perlahan tubuh kecil yang kesakitan itu, solat didirikan dalam keadaan duduk menghadap kiblat.
Dari kamar ibu, terdengar gayungan air membasahi lantai. Barangkali ibu dan ayah juga sedang merapikan diri untuk menghidupkan malam dengan solat berjemaah. Keluarga kecil yang sederhana, beratapkan langit rahmat Ilahi dan berlantaikan qanaah pada Rabbi, mereka hidup dengan acuan al-Quran dan sunnah Rasulullah. Biar ujian membadai kehidupan, biar ombak menghempas pantai hati segalanya diserahkan pergantungan kepada al-Khaliq, tidak sedikitpun menggoyahkan iman yang dipaut kukuh kepada Allah.
Hannan istiqamah menghidupkan solat tahajud, dihiasi solat taubat dan solat hajat yang menghiasi malam-malamnya berteman bebintang yang turut menghiasi langit dunianya, Hannan terus menghiasi langit hatinya.
*****
"Yakinlah Allah, bersangka baiklah pada Allah. Allah adalah apa yang Hannan sangkakan, kalau Hannan meyakini pertolongan Allah maka bersungguhlah meminta pertolongan dari Allah. Kalau Hannan merasa lemah, maka Hannan akan lemah. Ingat, jangan lupa pada kasih sayang Allah." Ayah mengelus lembut ubun-ubun Hannan, sesuap bubur nasi ditelan perlahan pada kerongkong Hannan. Perit sekali rasanya.
"Hannan masih ingat cerita ibu tentang kisah penggunting rambut yang suka bertanya soalan-soalan yang menguji keimanan orang Islam?" Jari ayah masih mengelus ubun-ubun Hannan sambil ibu menyuapkan bubur nasi.
Hannan menggangguk lemah, sinar matanya sentiasa bercahaya.
Penggunting rambut bertanya kepada seorang muslim, "bagaimana kamu meyakini Allah sedangkan kamu tidak melihat Allah, di sini dan sana ada manusia yang kelaparan, manusia saling bermusuhan dan peperangan rancak dilancarkan? " apa yang dijawab oleh muslim itu bukanlah pada sudut kerohanian tetapi mengikut logika fikiran. "Bagaimana kalau aku mengatakan bahawa di dunia ini tiada penggunting rambut?"
Maka, terkejutlah penggunting rambut itu. "Kenapa engkau berkata begitu?" Maka jawab muslim itu, "Kerana di luar sana ada yang kusut masai tidak terurus rambutnya. Ada yang rambut panjang." Penggunting rambut itu menukas, "Kamu salah, aku kan penggunting rambut. Mereka yang tidak datang kepada aku untuk dirapikan."
Maka muslim itu tersenyum, "Begitulah umpamanya. Bukan Allah itu tiada tetapi manusia itu tidak pergi kepada Allah, tidak meminta pertolongan dari Allah, tidak mendekatkan diri kepada Allah, tidak mengamalkan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Bukan Allah tiada tetapi manusia yang tidak mendekati Allah." Penggunting rambut itu pun terus terdiam.
Ibu tersenyum mendengar Hannan mengulang kembali kisah tersebut. Seingatnya, kisah tersebut diceritakan sewaktu Hannan dan Hanani masih kecil namun kiasan kisah itu diingati anak-anaknya sehingga kini. Alhamdulillah.
*****
Hanani mendakap erat tubuh Hannan, Hannan sudah mampu berdiri walau sekadar beberapa minit. Tiada ubatan yang menyakitkan menjalar di urat tangan Hannan, tiada ubat yang membuat Hannan menangis. Hanya terapi solat tahajud secara istiqamah dan alunan kalamullah yang sentiasa menemani, Hannan disembuhkan Allah dengan cara dan kehendak Nya.
"Ayah nak tahu, Ustaz Kamil bagitau Hanani... 'Dalam setiap ayat al-Quran itu penawar. Setiap ayat al-Quran mampu menggetarkan bahagian saraf tertentu pada tubuh kita. Apabila lengkap 30 juzuk yang dibaca, maka lengkaplah getaran pada setiap saraf pada keseluruhan tubuh kita.' Jadi, kalau kita yakin al-Quran itu penawar zahir dan batin maka kita bersungguh-sungguh membaca dan mengamalkannya insya Allah kita akan sihat. Terapi solat tahajud umpama mengecas 'elektrik' dalam badan kita. Ibu nak tahu, kalau kita mandi awal pagi sebelum solat tahajud ianya lebih membuatkan badan kita sihat! Wallahua'lam. "
Hanani ceria dengan perubahan positif pada diri Hannan, kembar yang selalu dirindui. Meskipun Hannan tidak mampu belajar bersama namun Hanani sentiasa berkongsi apa yang dipelajarinya.
'Moga Allah memberi kekuatan kepada Hannan dan rezekikan peluang terbaik buatnya. Ameen.'
"Kuliah Subuh minggu lepas, Ustaz Khusyairi berpesan 'kalau mahu dihindari penyakit nyanyuk, selalu baca al-Quran sebagai amalan dan solat tahajud' kena jaga hubungan dengan Allah dari awal, bukan bila dah tua baru nak mula berhubungan dengan Allah. Umur kita di dunia singkat saja, kehidupan di akhirat kekal abadi." Ayah menyambung ayat Hanani.
*****
"Ya Allah, aku mohon kepada Mu dengan rahmat dan kasih sayang Mu... Berikanlah yang terbaik buat agama ku, dunia ku, akhirat ku. Andai penyakit ini memberikan kebaikan kepada agama, dunia dan akhirat ku, aku mohon kekuatan dan kesabaran dari Mu untuk menghadirkan aku ketabahan bagi meneruskan kehidupan ini. Andai penyakit ini lebih baik disembuhkan demi agama, dunia dan akhirat ku maka aku mohon kepada Mu kesembuhan agar aku mampu untuk menjulang panji agama Mu.
Ya Allah, ilmuku ini terbatas dan pengetahuanku sangat terbatas, Engkau juga yang lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui."
Airmatanya mengalir, raut wajahnya basah dengan linangan air mata, hatinya terkoyak dengan kehadiran berita yang menyedihkan namun sejadah imannya disimpul kemas. Biar redha dan terus menyulam keyakinan pada Allah.
'La haulawala quwwata illa billah...'
*****
"Ibu, Harith nak kurma."
Harith menarik tangan, tersedar dari lamunan panjang. Subhanallah. .. Anak kecil itu petah sekali, usianya yang masih kecil dengan susuk yang mungil namun bilah perkataan yang keluar dari mulutnya sepatah-sepatah tanpa pelat.
"Seorang ibu yang solehah, gagah dan tabah akan melahirkan zuriat yang juga kuat semangat! Tengok semangat Harith ni, bersungguh memanjat nak ambil kurma." Khairil menyuapkan kurma ke mulut Harith sambil Hannan ketawa besar dengan keletah si kecil itu.
*****
"Wahai anakku, telah aku berusaha mencorak peribadiku sebaiknya walau aku bukan yang terbaik. Telah aku berusaha memilih bapa terbaik untukmu, jadilah anak yang soleh... Harith anakku sayang, dirimu umpama kenikmatan semanis redha yang ibu teguk sejak dahulu. Allah sentiasa memberi dengan cara Nya, ibu akan sentiasa berusaha yang terbaik buatmu."
Hannan mengucup lembut dahi Harith. Tidurnya enak berteman zikrullah yang dialunkan suara hati ibu, terasa nusrah Ilahi membantu untuk terus menongkah dunia andai benar yakin itu terus berpaksikan iman kepada Tuhan.
Insya Allah.
---Rahsia Dan Keajaiban Untuk Menangis & Ketawa --
Di sini ade beberapa maklumat mengenai fungsi menangis & ketawa..harap2 lpas ni leh la korang smua tahu tntg perbuatan yg slalu korang wt 2..sma ade ngis @ ktawa..hehehe...
SENYUMAN dan ketawa boleh menjadi penawar duka. Kebuntuan fikiran seolah-olah hilang apabila mendengar suara anak ketawa menyambut kepulangan kita dari tempat kerja. Ketawa dan menangis adalah sebahagian proses semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada kita.
Bagaimanapun sesetengah orang menganggap tangisan itu sebagai satu kelemahan, hakikatnya ia ada fungsi penting dalam kehidupan kita. Apabila kita ketawa atau menangis, badan mengalami perubahan fizikal dan kimia. Ketawa dan menangis adalah dua elemen penting yang memberi manfaat kepada fizikal dan emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik.
Berbanding ketawa, menangis adalah proses lebih rumit. Air mata boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
i. Air mata basal (untuk melembapkan mata).
ii. Air mata refleks (dihasilkan apabila mata mengalami keradangan seperti apabila mengupas bawang atau terkena habuk).
iii. Air mata emosi (dihasilkan apabila badan bertindak balas terhadap perubahan emosi).
Setiap jenis air mata ini mempunyai komposisi hormon dan bahan kimia berbeza. Saintis mendapati air mata emosi mengandungi paras logam mangan dan hormon prolaktin lebih tinggi. Apabila kita menangis, dua bahan ini diambil daripada badan dan dikeluarkan melalui air mata. Ia membantu meredakan perasaan. Ini sebabnya kita berasa lebih tenang selepas menangis.
Air mata emosi hanya terhasil apabila berlaku perubahan emosi. Banyak faktor boleh mengakibatkan emosi seseorang berubah, seperti kesedihan kehilangan orang tersayang. Apabila emosi berubah, sistem saraf bertindak balas dengan merangsang saraf kranial (saraf dari otak) dan menghantar isyarat kepada kelenjar air mata lakrimal (kelenjar air mata paling besar).
Penyelidik percaya, kelenjar ini mengeluarkan jumlah air mata mengandungi bahan kimia dan hormon tertentu untuk menstabilkan semula perasaan seseorang apabila menghadapi tekanan emosi. Bagi wanita, tangisan dianggap perkara biasa tetapi bagi lelaki, ada yang menganggap ia sebagai satu tanda kelemahan. Sebenarnya, menangis bukan perkara memalukan atau lambang kelemahan.
Individu yang tidak menangis, terutama apabila mengalami tragedi seperti kematian atau putus cinta, sebenarnya lebih menderita secara fizikal kerana tidak dapat meluahkan keperitan yang dialami melalui tangisan. Jadi jika anda sedih., tiada salahnya untuk menangiskerana ia antara proses semula jadi untuk mententeramkan semula perasaan dan fikiran.
Jika menangis boleh meredakan perasaan, ketawa pula dianggap sebagai ubat terbaik dalam merawat apa jua masalah. Pendapat ini ada benarnya kerana badan secara semula jadi berehat apabila kita ketawa. Diafragma, abdomen, saluran pernafasan, muka, kaki dan bahagian belakang badan secara tidak langsung ‘digerakkan’ serentak untuk bekerja. Pergerakan ini yang dianggap senaman untuk bahagian tengah badan sebenarnya turut membakar kalori.
Saintis mendapati, ketawa sebanyak 100 kali mempunyai manfaat sama dengan bersenam 10 hingga 15 minit. Ketawa membantu merangsang proses pemulihan dengan merendahkan tekanan darah dan melancarkan aliran darah. Apabila kita ketawa, badan menghasilkan sel-T iaitu sel darah putih dan sejenis protein yang penting dalam sistem pertahanan badan. Ketawa juga didapati boleh mengurangkan penghasilan hormon tekanan. Ini sebabnya orang yang menghidap penyakit perlu mendapatkan bantuan kaunseling atau kumpulan sokongan untuk menguatkan semangat kerana kesedihan hanya memburukkan keadaan penyakit mereka.
Kajian mendapati apabila kita ketawa, satu gelombang elektrik terhasil dan mengalir dalam otak. Banyak bahagian otak, termasuk bahagian yang mengawal emosi, daya intelek dan pergerakan, saling berhubung ketika kita ketawa. Semua ini dikatakan memberi manfaat kerana ia boleh menguatkan badan. Ketawa bukan saja boleh meredakan tekanan, tetapi menghilangkan rasa marah.
Antara manfaat ketawa yang lain ialah:
a. Merendahkan tekanan darah
b. Merangsang mood.
c. Meningkatkan daya ketahanan badan.
d. Memperbaiki fungsi otak
e. Melindungi jantung.
f. Merapatkan hubungan dengan orang lain.
g. Melegakan perasaan.
h. Membuatkan kita berasa selesa.
Malah, ketawa juga boleh meningkatkan keupayaan badan melawan penyakit seperti tekanan darah tinggi, strok, artritis, ulser dan mengelakkan risiko mendapat serangan jantung. Kajian mendapati seseorang itu berisiko diserang sakit jantung jika sentiasa dalam keadaan tertekan, resah, gelisah dan marah.
Bahkan, ada juga kajian mendapati ketawa boleh melancarkan sistem pencernaan dan penyerapan nutrien daripada makanan. Namun paling penting ialah ketawa boleh mengekalkan kesihatan mental. Apabila kita berfikiran tenang dan melihat masalah daripada sudut positif, ia juga boleh dijadikan bahan ketawa. Ketawa pada diri sendiri juga boleh mengubah persepsi kita terhadap masalah dihadapi. Mungkin anda tidak sedar, ketawa sebenarnya membolehkan kita menangani masalah atau tekanan dengan lebih baik....
Khamis, 8 Julai 2010
Hiasan Dunia
Apapun semuanya adalah dugaan dan menghapuskan dosa-dosaku yang lampau. Hari ini emosiku kejap ok kejap tak ok. Wallahu'alam. Ada ketika berfikir sejenak. Mengapa aku diciptakan? Tetapi apa yang pasti setiap kejadian ada hikmah yang Allah jadikan. Wanita solehah? "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah".
Insya Allah kita berusaha menjadi wanita solehah. Ameen.
7 Petanda Kebahagiaan Dunia
1.Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur
2.Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh
3.Al auladun abrar, iaitu anak yang soleh
4.Albiatu sholihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita
5.Al malul halal, atau harta yang halal
6.Tafakur fi dien, atau semangat untuk memahami agama
7.Umur yang barakah – ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah.
Rabu, 7 Julai 2010
Bersama Menjana Minda Positif

Minda positif membentuk kehidupan. Mengapa minda positif? Setiap tingkah laku bermula dengan fikiran dan niat. Niat itulah membentuk tingkah laku. jika berfikiran positif maka tingkah laku juga menjadi positif. Begitu jugalah sebaliknya. Berfikiran negatif akan menarik semua anasir negatif untuk melekat dalam diri dan persekitaran. Semuanya akan nampak buruk. Itulah negatif.
Sebenarnya ini hanyalah selingan di sebalik hati yang dah lama tidak menulis. Ingin sahaja diterjemahkan semua yang berlaku dalam kehidupan ini dinukilkan bersama. Tetapi apa kan daya, hanya yang termampu dan terlarat sahaja akan dicatatkan.
Alhmdulillah, aku baru sahaja sihat dari demam, tinggal selsema dan batuk sahaja. Betapa nikmatnya sihat dan muda kepada insan. Tapi itulah insan bermula dari yansa yang bermaksud lupa. Lupa kepada nikmat lupa kepada Pencipta. Manusia kembali ingat apabila diketuk dengan ujian.
Ujian hadir dalam pelbagai bentuk sama ada disedari atau pun tidak. Tahap kesabaran jua berbeza. Bergantung kepada individu dan keyakinan kepada Allah, Pencipta sekalian alam.
Duniaaaaaaaaaaaaaaaa....
Begitu payahnya hidup di dunia iniiii..
Tanpa bimbingan dan petunjuk dariMu Ya Allah.
Ibu, maafkan aku ibu,
Ada ketika kau memberontak, masih menegakkan benang yang basah
Tapi aku tak bermaksud menyakitimu.
Kerana aku amat menyayangimu, ibu
Ayah, ku akui aku masih merinduimu.
Semoga ruhmu ditempatkan dikalangan hambaMu yang beriman.
Nenek, atuk, terima kasih kerana menyayangi cucumu ini.
Betapa aku bersyukur kerana dikurniakan orang-orang yang menyayangiku.
Ya Allah, Kau limpahkan rahmatMu kepada mereka
Yang telah banyak membantuku.
Kau permudahkanlah urusan mereka Ya Allah.
Hanya Engkau yang dapat membalas jasa mereka Ya Allah....