Rabu, 14 April 2010

Allah Tempatku Mengadu dan Memohon Pertolongan



Dalam kehidupan ini, pelbagai peristiwa dan kejadian yang berlaku. Pejam celik semuanya berlalu dengan pantas, tiada masa lagi untuk berundur ke belakang. Masa dulu, sekarang, dan akan datang semuanya berada dalam Luh Mahfuz Illahi. Manusia tidak dapat mengubah yang telah berlalu, tetapi berusaha yang terbaik untuk kini dan merancang untuk masa hadapan. Namun sebaik-baik perancang adalah Allah jua.

Manusia diuji dengan pelbagai ujian. Tapi yang pasti Allah tidak akan membebani hambaNya dengan ujian tersebut kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hambaNya mampu menangani ujian itu. Betapa agungNya Allah kerana Dia amat menyayangi hambaNya. Allah rindukan rintihan dari hambaNya. Allah rindukan munajat hambaNya. Allah rindukan ingatan hambaNya.

Namun manusia leka, alpa, dan lalai akan dunia. Itulah ujian yang Allah datangkan agar hamba itu kembali mengingati Allah, Tuhan Pencipta alam semesta. Kerana sifat manusia, fitrahNya kembali kepada Allah apabila susah, lalai mengingatiNya apabila senang.

Direnung dan muhasabah. Nasib manusia tidak serupa, sifat juga berbeza, begitu juga amalan dan taqwa yang menjadi nilaian Allah kelak. Namun, manusia diciptakan pancaindera untuk berfikir dan merenung kejadian alam ini. Betapa diri ini bersyukur atas segalanya. Kerana belum tentu diri ini mampu menghadapi ujian yang ditimpakan ke atas orang lain. Betapa tabahnya mereka menghadapi ujian yang dirasakan berat bagi diri ini.

Wahai diri, sabarlah! Setiap yang susah pasti ada kesenangan selepas kesusahan. Itulah janjiNya dalam kalam suciNya. Senjata umat Islam adalah doa. Maka, berdoalah tak kira di mana jua dengan bahasa yang mudah dan difahami kerana Allah akan mengabulkan doa hamba yang berdoa kepadaNya.

Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Itulah janji Rabb, Tuhan pemilik sekalian alam. Ingatlah Allah, moga hati kembali tenang menghadapi dunia yang penuh pancaroba. Dan yang pasti Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan